Cara Bertanya Yang Betul Supaya Pelajar Berasa Selamat Dan Dihargai

“Siapakah antara kamu yang berasa seronok untuk mengikuti slot malam ini?”
Saya mula bertanya selepas memperkenalkan diri.

Semua peserta mengangkat tangan. Ada yang menutur perlahan “Saya...” sambil mengangkat tangan dan jari telunjuk di hala ke atas.

“Siapakah antara kamu yang apabila dia masuk ke dewan ini, dia senyum kepada ustaz dan ustazah?”.
Saya melanjutkan pertanyaan.

“Saya...”, jawab mereka. Tangan di angkat lagi buat kali kedua.

Saya terus bertanya.
Siapa yang senyum dan berbual tentang program petang tadi bersama rakan sebelah?”

Keadaan yang sama berlaku. Mereka mengangkat tangan lagi sambil menyebut “Saya...”

“Siapa antara kamu, apabila masuk ke dalam dewan ini, duduk elok-elok, duduk sopan-sopan dan bersedia?”.
Soalan terakhir.

“Saya....”, kata mereka. Kali ini sebutannya lebih kuat, tangan diangkat lebih yakin dan berani.

“Perbuatan yang kamu lakukan tadi adalah perbuatan yang baik. Semua itu adalah ciri-ciri perilaku pelajar yang berakhlak. Allah akan memberi ganjaran pahala terhadap akhlak kamu yang suka ke program ilmu, senyum kepada rakan dan guru, bertanya khabar dan duduk dengan sopan di majlis seperti ini.”


“Saya percaya bahawa semua pelajar yang menjadi peserta program ini, pelajar yang berada di hadapan saya ini adalah pelajar yang berakhlak. Lihat cara duduk dan tumpuan yang diberikan tadi telah meyakinkan saya, pelajar Kafa Putra memang pelajar yang baik dan cemerlang,” ujar saya lagi.
Mereka tersenyum, wajah berseri.


Saya bertanya soalan-soalan mudah berkaitan akhlak supaya semua pelajar akan mengangkat tangan. Tidak seorang yang berkecuali daripada senarai kebaikan yang ditanya tadi.

Kemudian, saya memuji tindakan mereka dan menyatakan kesan kebaikan tersebut.
Dalam hal ini, saya telah cuba membuka suis ‘penghargaan terhadap diri ’ di awal ceramah.

Tindakan pertama adalah menaikkan self-esteem peserta melalui ‘Teknik Semua Pelajar Angkat Tangan.’

Pelajar yang memiliki self-esteem tinggi akan berasa seronok dengan diri sendiri. Sebaliknya,pelajar yang memiliki self-esteem rendah berasa tidak seronok dengan diri sendiri.

Seterusnya, mereka akan  seronok dan suka dengan orang yang telah menjadikan mereka seronok.

Begitulah impaknya.

Ketika pelajar berasa aman dan dicintai, mereka memiliki self-esteem (penghargaan terhadap diri) yang sihat, kepercayaan diri yang kuat dan terdorong menggunakan kekuatan kreatif.

Mereka akan berasa berbeza dan unik.

TEROKAI LEBIH BANYAK TEKNIK PSIKOLOGI PENDIDIKAN MENGGUNAKAN PENDEKATAN RASULULLAH DENGAN MENONTON SIRI VIDEO 21 TEKNIK MENGAJAR GAYA NABI.


Mengandungi strategi dan teknik pengajaran yang digali dari hadith-hadith psikologi sebagai panduan untuk mendorong motivasi pelajar supaya seronok belajar.