Cara Nabi Meleraikan Konflik Yang Boleh Kita Amalkan Dalam Bisnes Dan Organisasi

"Kita tidak dapat mengelak konflik berlaku. Dalam hubungan kerja dan keluarga, pasti akan wujudkan konflik mahupun pergaduhan. Ia tidak dapat dielak, namun kita dapat mengurusnya."

Kepercayaan ini saya selalu sebutkan kepada peserta apabila saya menyampaikan topik berkaitan 'Pengurusan Konflik'.

Saya akan berkongsi serba sedikit tentang perkara ini.

Bagi menunjukkan Teknik Nabi dalam mengurus dan meleraikan konflik, saya menggunakan Hadith Rujukan di bawah:

Abdullah bin Abi Aufa melaporkan bahawa Abdul Rahman bin Auf pernah mengadu kepada Nabi Muhammad tentang Khalid al-Walid.

Lalu Nabi Muhammad berkata kepada Khalid, "Wahai Khalid, janganlah saudara menyakiti lelaki yang menjadi anggota tentera Perang Badar. Andai kata saudara bersedekah dengan emas sebesar Gunung Uhud, tentu saudara masih tidak dapat menyaingi amalannya."

Khalid al-Walid pun berkata, "Wahai Rasul Allah, mereka menuduh saya, sedangkan yang dimaksudkan adalah mereka."

Nabi Muhammad berkata, "Janganlah menyakiti Khalid, sesungguhnya dia adalah pedang daripada pedang-pedang Allah 'azza wa jalla. Allah menghantarkan dia bagi memerangi orang-orang kafir."

Hadith ini direkodkan dalam koleksi hadith-hadith autentik Ibn Hibban

Hadith ini diterjemahkan oleh Tim Pengkaji Hadith Psikologi



Ini yang berlaku berdasarkan senario dalam hadith di atas.

1# Abdul Rahman bin Auf mengadu kepada Nabi Muhammad tentang Khalid al-Walid.

2# Mendengar aduan daripada Abdul Rahman, Nabi berkata kepada Khalid supaya tidak menyakiti sahabat beliau Abdul Rahman.

Nabi berkata, "Wahai Khalid, janganlah saudara menyakiti lelaki yang menjadi anggota tentera Perang Badar. Andai kata saudara bersedekah dengan emas sebesar Gunung Uhud, tentu saudara masih tidak dapat menyaingi amalannya."

3# Apabila Nabi menegah Khalid dengan ucapan itu, Khalid al-Walid membela dirinya.

Beliau berkata, "Wahai Rasul Allah, mereka menuduh saya, sedangkan yang dimaksudkan adalah mereka."

4# Nabi mendengar aduan Khalid al-Walid tentang Abdul Rahman pula.

Kemudian berkata, "Janganlah menyakiti Khalid, sesungguhnya dia adalah pedang daripada pedang-pedang Allah 'azza wa jalla. Allah menghantarkan dia bagi memerangi orang-orang kafir."


Dari peristiwa di atas, apakah yang kita dapat belajar?

Kita dapat menggali pendekatan Nabi apabila meleraikan konflik dua orang sahabat beliau itu.

1# Nabi tidak menyiasat latar belakang masalah yang berlaku. Tidak Nabi bertanya 'Kenapa?' dan 'Mengapa'?

2# Nabi tidak menegur, mengkritik, mahupun memarahi kedua-dua belah pihak.

3# Nabi tidak menyebelahi salah satu pihak sahaja. Kedua-dua mereka berpeluang untuk bercakap dan membuat aduan.

4# Nabi tidak meminta mana-mana pihak mempertahankan dirinya. Malahan tidak memaksa supaya mengaku salah.

5# Kedua-dua sahabat Nabi ini ialah individu yang tinggi daya pengaruhnya. Abdul Rahman bin Auf seorang jutawan, manakala Khalid Al-Walid adalah pakar peperangan.

  • Apabila bercakap kepada Khalid, Nabi memuji prestasi Abdul Rahman.
  • Apabila bercakap kepada Abdul Rahman, Nabi memuji prestasi Khalid.

6# Nabi menyebut prestasi terbesar masing-masing ke atas kemenangan Islam.

7# Strategi dan teknik komunikasi seperti itu menjadikan kedua-dua pihak yang sedang berkonflik kembali hormat-menghormati dan merendah diri.

8# Seorang ketua organisasi boleh menggunakan pendekatan ini apabila mengurus ego pegawai atasan mereka.


Bagaimana kita dapat mengamalkan teknik ini apabila mengurus pertikaian yang berlaku dalam pasukan kerja kita?

Supaya dapat memahaminya secara mudah, saya tuliskan langkah-langkahnya.

Katakanlah berlaku pertikaian antara pegawai marketing dan pegawai kewangan. Timbul perasaan tidak puas hati.

1# Ikuti langkah 1 hingga 6 seperti nota di atas tadi.

2# Kepada pegawai marketing, kita puji pegawai kewangan di hadapan kedua-duanya.

"Jangan berkata begitu kepada orang yang paling bertanggungjawab mengurus hal-ehwal kewangan syarikat kita. Andai tuan memikul jawatan itu dalam situasi sekarang, belum tentu tuan dapat melakukan setanding seperti dia lakukan."

3# Mendengar itu, pegawai marketing tadi tidak puas hati. Dia pun mahu bercakap juga. "Dia pun satu tuan. Tuduh saya tak buat kerja!"

4# Jadi, kita puji pula pegawai marketing. Katakan di hadapan kedua-duanya seperti ini.

"Jangan tuduh Tuan Adam begitu. Beliau strategis pemasaran kita. Apabila ada projek besar, beliau orang yang komited mencapai KPI jualan."


Kesimpulannya;

Mengucapkan kata-kata pujian sangat efektif untuk mengurut emosi pihak yang sedang bergaduh atau berkonflik. Ia memberi satu perasaan positif kepada diri sendiri dan membuang perasaan buruk sangka terhadap orang lain.

Apabila emosi kembali stabil, baru orang dapat berfikir secara rasional.

Fokus kepada manusia, bukan kepada masalah yang terjadi.